Sejarah Sekolah


Sekolah Kebangsaan Mangkok sama juga dengan sekolah-sekolah lain mahupun sebarang institusi atau sebarang pertubuhan, yang mempunyai sejarahnya tersendiri. Sekolah ini dibina pada akhir tahun 1950 di mana sekolah ini lebih dikenali dengan nama 'Sekolah Melayu Mangkok, Besut' pada ketika itu. Pada awal pembinaannya, sekolah ini hanya mempunyai satu buah bangunan berdinding separuh dengan keluasan 60 kaki panjang dan 24 kali lebar. Sekolah ini hanyalah beratap nipah, berlantaikan bumi dan disediakan bangku dan kekuda untuk menyenangkan belajar. Sekolah ini dibina hasil titik peluh penduduk kampung ini sendiri yang sama-sama bergotong royong untuk menyiapkannya.

Tanggal 1 April 1951, merupakan detik bersejarah bagi penduduk kampung ini.Bermula pada tarikh itu anak-anak Kampung Mangkok mulai merasa alam persekolahan. Detik inilah yang menjadi perintis untuk memulakan satu era baru dalam melahirkan generasi berpendidikan. Pada mulanya, seramai 80 orang sahaja yang memasuki darjah satu tetapi kini bilangan tersebut semakin berkurangan dari tahun ke tahun. Dalam tempoh setahun ke setahun hanya sedikit sahaja penambahan bilangan murid. Wujudnya keadaan seperti ini kerana berlakunya perpindahan ke Rancangan Felda dan penempatan kampung baru.

Pada asasnya sekolah ini mempunyai dua buah bangunan. Bangunan pertama dibina pada tahun 1961 yang mempunyai tiga bilik darjah sahaja. Kemudian, pada tahun 1981, satu blok bangunan baru dibina. Bangunan ini, selain daripada mempunyai tiga bilik darjah, ia juga dilengkapi dengan satu bilik guru, satu bilik guru besar, pejabat, setor dan tandas. Disamping itu juga sekolah ini mempunyai dua buah rumah guru, satu pusat sumber dan sebuah kantin untuk kesenangan 'Keluarga' Sekolah Kebangsaan Mangkok.

Sekolah Kebangsaan Mangkok, merupakan sebuah sekolah yang terletak dalam Daerah Setiu, Terengganu. Sekolah ini berada dalam lokasi yang menaik kerana terletak berhampiran dengan pantai dan sungai. Keadaan ini sudah tentunya menggambarkan aktiviti bapa murid-murid di sini. Kebanyakan bapa murid-murid di SK Mangkok adalah nelayan.

Dalam lebih empat dekat sudah tentu banyak perubahan yang berlaku terhadap sekolah ini. Kini Sekolah Kebangsaan Mangkok terletak di dalam Daerah Setiu iaitu daerah baru di Terengganu. Daerah Setiu dibuka kira-kira hampir 30 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1984.

Pada tahun 2005 bangunan baru telah dibina. Sebanyak dua blok bangunan dibina untuk menggantikan bangunan lama yang telah lapuk ditelan zaman. Satu Blok Pentadbiran dan satu Blok Akademik yang merangkumi pejabat, bilik guru, bilik darjah juga bilik-bilik khas lain seperti bilik mesyuarat, bilik Muzik, Perpustakaan dan sebagainya. Akhir tahun 2008 bangunan ini telah siap dan mula diguna pakai. Selain itu, Makmal Komputer turut dibina bagi kemudahan murid-murid SK Mangkok untuk mengenali teknologi terkini.

Dalam tempoh ini, Sekolah Kebangsaan Mangkok telah mencapai banyak kejayaan samada dalam Bidang Akademik, Kokurikulum, atau sebgainya. Kejayaan ini membolehkan sekolah ini " Berdiri sama tinggi, Duduk sama rendah" dengan sekolah-sekolah besar.



SEJARAH KEPIMPINAN SEKOLAH

BIL NAMA TARIKH MULA BERKHIDMAT TARIKH AKHIR BERKHIDMAT
1 EN. ALI BIN MUHAMMAD 01.04.1951 30.06.1955
2 EN. MANSOR BIN ABDULLAH 01.07.1955 18.05.1956
3 EN. GHAZALI BIN SU 19.05.1956 11.01.1964
4 EN. ALI BIN AB LATIF 12.01.1964 31.12.1966
5 EN. MOHAMAD BIN HASSAN 01.01.1967 31.12.1967
6 EN. MOHD NOR BIN YUSOF 01.01.1968 31.12.1969
7 EN. MOHD NOR BIN HJ LATIF 01.01.1970 31.12.1970
8 EN. MUHD NOOR BIN ABD RAHMAN 01.01.1971 31.07.1978
9 EN. EMBOK BIN ABD RAHMAN 01.08.1978 15.12.1987
10 EN. SAUTI BIN OMAR 16.12.1987 31.01.1994
11 EN. MUHD NOOR BIN ABD RAHMAN 01.02.1994 15.10.1999
12 EN. ABDULLAH FUADI 16.10.1999 31.12.2004
13 EN. MOHD BIN LATIF 01.01.2005 15.09.2011
14 EN. RAZALI BIN ALIAS 16.09.2011 23.06.2013
15 EN. MOHD KHALILI BIN MOHD NAWI 22.07.2013 31.07.2013
16 PN. MAIMUN BINTI MAMAT 01.08.2013 SEKARANG